Selamat Datang Ke Blog Catatan LR Soflin... All is about journey of life | Hobbies | Photography | and ....

Saturday, September 17, 2016

Hobi~Kumpul Duit Lama




Ramai orang di luar sana yang memiliki hobi mengumpul barangan. Di antaranya ada yang mengumpul barangan bundle branded seperti T'shirt, seluar, beg dan kasut. Ada pula yang hobinya mengumpul pelbagai jenis Sampul Duit Raya perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali. Tapi kali ini aku bukan nak menulis berkenaan hobi mengumpul barangan bundle mahupun Sampul Duit Raya tetapi entri aku kali ini adalah berkenaan dengan hobi Mengumpul Duit Lama.

Ya, Duit Lama.. Sebut pasal Duit Lama mesti yang terlintas dalam fikiran kita adalah 'Kalau jual mesti harga mahal boleh cecah ribuan ringgit sekeping'. Jika itu yang terlintas di fikiran maka kita dah silap sebab bukan semua duit lama itu ada harga yang tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit. Jangankan ribuan ringgit, ratusan ringgit pun belum tentu sampai. Percayalah!

Aku nak bercerita pasal waktu mula-mula aku berkecimpung dengan hobi mengumpul duit lama ni. Macam ni ceritanya.. 🤔💭

"Pada pagi 2 Mac 2015 aku online Facebook seperti biasa. Scroll punya scroll News Feed aku ternampak lah posting dalam satu group Semporna berkenaan iklan mencari Duit Lama. Dalam post tu ada nyatakan mencari duit syiling parlimen bergerigi (Milled Edge) 50 sen tahun 1967,1968 dan 1969. Aku pun cari lah dalam simpanan mana lah tahu bertuah badan tiba-tiba ada dalam simpanan sebab orang tu offer nak beli RM300 sekeping. Fuhh.. kelabu juga la seketika mata aku. Kihkih..siapa la tak nak kan..50sen jadi RM300!

Aku teringat! Haaa...dalam pouch aku kan ada 50 sen bergerigi ( rupanya 50 sen Security Edge tahun 1967 ). Dengan tidak membuang masa aku komen dekat post orang tu..tepek gambar duit syiling aku tu. Tapi hampa.. dia tak nak yang berparit/ada belahan. Dia nak 50 sen ME ( yang tiada belahan/parit kat sisi duit syiling tu). Aku yang pada mulanya excited terus hampa! Hahaha.. Tapi semuanya tidak berakhir di situ. Terdetik dalam hati nak cari info pasal duit lama ni. Aku beritahu Encik Suami yang masa tu duduk di sebelah tengah drive kereta nak ke bandar pasal hasrat aku nak ke rumah mak manalah tahu mak ada simpan duit syiling tu. Sebabnya dulu mak ada menyimpan duit syiling 50 sen dalam kuantiti yang banyak. Jadinya daripada tersimpan begitu sahaja (kalau ada) baiklah aku beritahu mak pasal tu kan. Yang aku tak sangka-sangka ni, rupanya orang selama ni tertipu sebab sebelum ni heboh pasal duit syiling 50 sen yang terbelah harga mahal. Mak aku sendiri pun kumpul duit syiling 50 sen terbelah tu lah. Padahal collector tak cari yang tu pun.

Aku rasa ada lah puak yang sengaja mengheboh-hebohkan pasal duit syiling 50 sen SE tu kononnya orang cari dan harga mahal supaya orang tak kumpul duit syiling 50 sen ME tu. Agaknya lah. Kalau difikirkan memang macam tu. Ye lah kalau tidak macam mana orang boleh terhegeh-hegeh kumpul duit syiling 50 sen SE tu pula kan. Pagi tu aku search juga info pasal duit lama dalam web dan Facebook. Dalam pencarian tu entah boleh pula timbul minat nak tahu lebih mendalam pasal hobi kumpul duit lama ni. Maklumlah orang tengah mengandung memang macam tu. Tiba-tiba saja boleh timbul minat.

Aku cari info berkenaan duit lama ni dan perkara pertama aku tahu adalah nama bagi aktiviti mengumpul duit lama iaitu 'Numismatik'. Aku juga banyak membaca blog-blog Numismatik seperti Blog Malaysian Coin, Galeri Bank Note Sha dan lain-lain. Di facebook aku mencari group-group berkenaan kelab duit lama ni dan ternyata banyak sekali group yang aku temui. Aku join satu persatu dan alhamdulillah banyak info aku temui. Tak sangka Duit Lama ni sememangnya bernilai bagi collector dan sesiapa sahaja yang mempunyai hobi mengumpul duit lama sepertiku.

Banyak aku pelajari dalam group-group duit lama. Pertama kali aku menjalankan urusniaga iaitu mengongsikan duit syiling 5 sen bunga raya error yang mana syiling tersebut memiliki kecacatan iaitu Gasing terpusing 90° dan angka 0 pada tahun tiada menjadikannya tahun '20  1' sepatutnya 2001. Aku saja-saja berkongsi dalam group tetapi ada seorang collector yang berminat untuk membelinya. Aku newbie, jadi aku tidak tahu nak letak harga berapa. Akhirnya aku memintanya menawarkan harganya sendiri memandangkan dia seorang collector yang jauh lebih berpengalaman dalam bidang numismatik. Dia mendesak aku untuk menjual duit syiling tersebut dengan harga RM50. Aku pun bersetuju. Siapa tidak terkejut, duit syiling 5 sen yang hanya memiliki kecacatan sudah berharga berkali-kali ganda dari nilai asal. Sungguh menarik!

Hari berganti hari, bulan berganti bulan..akhirnya aku terjebak juga dengan aktiviti 'menumis' ini. Syok tu memang syok.. sebab dapat miliki notes yang tidak pernah pun aku lihat sebelum ini. Aku membeli notes melalui aktiviti jualan terus dan lelongan ahli-ahli kelab untuk koleksi dan selebihnya aku jual semula kepada ahli-ahli kelab dan alhamdulillah hasil daripada menjual lebihan notes aku dapat membeli notes yang lain sebagai koleksi.

Agak lama juga aku aktif dalam jual beli duit lama ni. Dari aku mengandung sehingga lepas pantang. November 2015 aku berhenti seketika sebab sibuk menguruskan anak dan kerjaya. Kini duit-duit lama aku simpan elok-elok untuk tatapan di masa akan datang. Kenangan terindah semasa aku mengandungkan anak kedua. Masaku terisi dengan aktiviti menumis.. mengidam punya pasal! 😉

Di bawah ni aku kongsikan sedikit koleksi duit lama aku.. Opss lupa nak ambil gambar. InsyaAllah ada kelapangan aku akan kongsikan di sini. 😊


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...